;


Saturday, February 5, 2011

Belajar dari kesan ulama Mesir yang ditutup mulutnya

0 comments

KOTA BHARU, 5 Feb: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan pihak yang mahu menutup mulutnya (dari terus memperkatakan Islam) supaya mengambil iktibar dari peristiwa ulama yang ditutup mulut mereka oleh pemerintah Mesir.

Beliau yang juga Menteri Besar mahu peristiwa yang berlaku ke atas Presiden Hosni Mubarak diambil ingatan oleh pihak berkenaan.


“Hosni Mubarak lama dah tutup mulut ulama, dan sekarang rakyat pula menutup mulut dia (dalam isu revolusi Mesir yang mahukan Hosni Mubaratk berundur),” katanya pada Kuliah Mingguannya di Medan Ilmu di sini pagi tadi.

Terdahulu dari itu beliau mengimamkan solat hajat untukkesejahteraan rakyat Malaysia di Mesir. (gambar)

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini mendakwa ‘fatwa’ yang keluar dari mulut Nik Aziz sering kali bertentangan dengan pendapat Dewan Ulama Pas dan parti itu, justeru beliau yang juga Menteri Pertahanan mahu supaya dicari jalan bagi ‘menutup mulut’ Nik Aziz.

Baru-baru ini Mursyidul Am PAS itu pada sidang media di Kampung Redong sempena kempen bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang mendakwa pengundi yang tidak menyokong calon PAS sebagai orang jahiliah.

Mengulas dakwaan Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran Umno Kelantan Prof Madya Mohd Noor Deris yang mendakwa Nik Aziz telah mengeluarkan banyak kenyataan bercanggah dengan syarak, justeru mahukan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Raja-Raja mengkaji kenyataan Mursyidul Am PAS itu, Nik Aziz berkata beliau amat bersetuju kalau ada pihak mahu berdialog dengannya mengenai Islam.

“Saya setuju benar orang berdialog dengan saya. Ini kerana ajaran Islam menggesa diadakan mujadalah sekiranya ada isu tertentu, dan ‘hendaklah kamu berdebat dengan mereka dengan cara terbaik’.

“Berdebat dan berdialog adalah ajaran agama, bukan hanya ajaran demokrasi.

“Saya bersetuju kalau orang berdialog dengan saya (dan hendaklah) ‘pegang Al-Quran’.

“Untuk majlis dialog itu, orang tengahnya ialah Al-Quran, tetapi kalau berdialog tidak ada panduan, mana boleh,” katanya.

Beliau turut meminta pemimpin negara ini ambil iktibar dari peristiwa revolusi Mesir yang hangat kini.

Beliau menyifatkan rakyat dan pemimpin Negara adalah sama.

“Namun rakyat mudah mendengar nasihat, tetapi yang payahnya pemimpin, ini kerana mereka merasakan mereka itu pemimpin yang cerdik berbanding orang lain.

“Tahu-tahu, dia kena guling, barulah dia reti,” katanya sinis.

Beliau menegaskan umat Islam mukmin wajib menolak ideology lain termasuk ideologi Melayu atau nasionalis.

“Kerana apa, kerana Al-Quran adalah lebih dari segala-galanya.

“Di Malaysia sendiri, Allah swt beri kepada orang Melayu agama (Islam), namun ada di kalangan orang Melayu sendiri menolak Islam dan mengambil kebangsaan (sebagai dasar perjuangan partinya). Ini menyebabkan timbulnya kecelaruan,” dakwanya.


Harakahdaily

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin