;


Tuesday, February 23, 2010

Perginya seorang pejuang

0 comments

Epilog Ust Hambari...
Sememangnya nama yang tidak asing lagi di Pas kawasan Kota Raja sungguhpun aku baru di kawasan ini, tetapi ust Hambari menrupakan individu tulen yang sudah pasti setiap kali aktiviti ceramah atau kiluah atau ceramah bila tiba sesi soal jawab sudah pasti soalan akan dilontarkan oleh ust Hambari, bahkan bukan soalan semata-mata tetapi beserta dengan pandangan. Riak wajah nya jelas benar menggambarkan seorang pejuang agama Allah... yang sering menitikberatkan soal pentarbiahan. Setelah mana aku menerima sms dari teman-teman mengatakan pemergian Aruah, aku terus fowardkan kpd Ust Idris Ahmad yang sering berkunjung ke Rumah beliau selepas Kuliah hiraki Bulnanan. Balas Ust Idris Ketika ini Allah mengambil beliau dalam keadaan yang cukup baik dan Ust Idris sempat menyampaikan salam Takziah kepada keluarga Aruah.
Antara peristiwa yang aku terkenang tentang ketokohan Ust Hambari ialah ketika mana satu hari sebilangan pemuda ingin membuka gerai sempena Karnival Usahawan Rakyat di jalan Kebun, beliau menyatakan beliau juga ingin turut serta bersama pemuda dalam menjual produk keluarannya iaitu menjual benih pokok nenas dan air nenas... (Benih pokok nenas diletakkan di dalam baldi dan Air nenas diletakkan didalam Balang. jika dilihat dan difikirkan takkan ada orang yang hendak menjual produk demikian tetapi apa yang keluar dari mulut aruah ialah Ini yang beliau ada dan segala keuntungan daripada Jualan ini
beliau akan sumbangkan kepada Urusan Ulamak Kawasan untuk memantapkan gerak kerja Ulamak.Nasihat-demi nasihat bahkan sokongan padu juga turut diberikan kepada pemuda-pemuda kota Raja. Terlalu banyak perkara yang ingin dikongsikan tentang ketokohan beliau dan sudah pasti buat Teman-teman di kawasan Kota Raja....
bahawa Mesyuarat Agung kita pada Kali ini pasti kita akan rasa sepi tanpa kedengaran suara lontaran idea dari insan yang bernama Ust Hambari....
BacaJuga...
21 Februari 2010, Jam 10.30 pagi saya dikejutkan dengan pengiriman SMS berita pemergian ke rahmatullah Ustaz Hj Hambari bin Hj Nor, aktivis PAS Bukit Naga.

Seminggu sebelum itu, saya dan pimpinan PAS kawasan sempat melawat almarhum di Hospital UKM selepas almarhum selesai menjalani pembedahan.

Menurut Dr Nora, anak perempuan almarhum, bapanya itu mengadu sakit perut sebelum ini dan hasil pemeriksaan pihak hospital didapati almarhum mengidapi kanser usus.

Pembedahan dikatakan berisiko tinggi atas faktor usia almarhum, namun doktor tidak ada pilihan lain terpaksa melakukan juga pembedahan yang memakan masa 8 jam.

Selepas pembedahan, almarhum dikatakan mula stabil dan telah dipindahkan ke wad biasa dari wad ICU. Namun Allah lebih menyayangi hambaNya ini dan menjemput almarhum lebih awal daripada yang dijangkakan.

Secara peribadi, saya mula mengenali ustaz Hambari secara dekat setelah tertubuhnya PAS cawangan Bukit Naga sekitar tahun 1997.

Beliau telah menginfakkan tanahnya untuk didirikan Markaz PAS dan seterusnya PASTI Syaidatina Aisyah pada tahun 1998. Bermula di sinilah PAS kawasan Kota Raja menyerlah dengan pelbagai aktiviti semasa seperti program-program pentarbiyahan, ceramah-ceramah politik dan aktiviti-aktiviti dalaman parti.

Ustaz haji Hambari adalah di antara insan-insan kerdil di kalangan kita dalam perjuangan Islam di negara tercinta ini. Namun cukup istimewa untuk diperkatakan buat renungan kita bersama lebih-lebih lagi kepada generasi muda yang masih kuat kuderatnya.

Ketika di usia emas inilah ustaz Hambari masih berjiwa muda, bertenaga dan semangat perjuangannya cukup kental dibandingkan dengan sebahagian daripada kita termasuk diri saya sendiri.

Sepanjang ingatan saya, apa juga program-program PAS yang dianjurkan di Kota Raja ini, pasti ustaz Hambari ada bersama. Dia bukan orang-orang besar PAS, namun penglibatannya cukup meruntun perasaan. Apa tidaknya, khidmatnya tidak perlu dikerah namun diberi sebelum diminta.

Tahap kesukarelaannya cukup mudah ditumpahkan. Seperti juga sifat kedermawannya yang tinggi. Sebut saja program apa yang hendak dianjurkan. Pasti saja Ustaz Hambari akan menghulurkan bantuan kewangan. Bukan seringgit dua tapi mencecah ribuan.

Tengok saja markas yang ada, sebahagiannya adalah jasa-jasanya yang perlu kita kenang. Seperti penganjuran makan malam PASTI dan Jabatan Amal Kota Raja. Kupon belum dicetak tapi 100 orang telahpun ditaja. Inilah keperibadian Ustaz Hambari. Baca sini.

Dia bukan orang kaya. hidupnya sederhana sahaja. Pagi hingga ke petang kerjanya berkebun menanam nenas dan jagung. Bersih persekitaran markas kerana keperihatinannya. Kadang kala sempat juga mengecat dinding markas yang comot dimakan lumut.

Cerita ketika pilihan raya tak kurang hebatnya. Pernah satu ketika saya baru balik dari bandar Klang menyusuri jalan ke Jalan Kebun. Jam sekitar 2.30 petang yang teriknya tak terhingga. Hari bekerja dan tiada petugas PAS.

Ustaz gigih di sepanjang jalan hadapan MARDI sedang memacak papan tanda calon seorang diri.

Sayunya saya melihat tingginya semangat orang tua ini. Di markas pula, atas usaha beliau telah tersedia longgokkan papan-papan lapis kecil yang siap dipaku pada tiang-tiangnya menunggu poster yang belum siap dicetak lagi.

Belum lagi cerita ustaz menjahit puluhan bendera. Juga cerita apabila ada sekumpulan belia India datang ke markaz minta bendera PAS yang telah kehabisan, waktu itu juga ustaz Hambari menjahit bendera untuk diberikan kepada mereka.

Hikayat Ustaz Hambari dalam perjuangan Islam di Kota Raja tak akan berkesudahan. Saya pasti setiap orang yang mengenali Ustaz Hambari akan ada cerita tersendiri. Pokoknya setiap cerita itu sebenarnya mengajak kita berfikir dan merenungi diri sendiri.

Sejauh mana usaha kita dalam perjuangan ini benar-benar atas keikhlasan kita atau sebaliknya. Dan sejauh mana kita menggunakan kemampuan yang kita ada untuk manfaat perjuangan yang amat panjang ini. Atau kita sudah mula melupai segala janji-janji Allah kepada pembela-pembela agamaNya.

Semoga Allah SWT memberkati dan merahmati almarhum ayahanda Ustaz Haji Hambari bin Haji Noor dan mengumpulkannya bersama para mujahid Islam di sepanjang zaman. Amin....

- Azman Mohd Mah Husin
Sekretariat Parlimen Kota Raja

Gambar 1. Ustaz Hambari selepas menjalani pembedahan di HUKM.
Gambar 2. Ratusan yang mengiringi jenazah
Gambar 3. Suasana sayu di perkuburan

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin