Bismillahir Rahmanir Rahim
Allahuakbar, allahuakbar, allahuakbar.Lailaha Illallah Wallahu akbar.Allahuakbar Walillahil Hamd
Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh.
Segala  kebesaran milik Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus  berabdi di dalam bulan Ramadhan dan seterusnya menyambut Hari Raya  Idulfitri 1431H pada tahun ini. Sesungguhnya kesempatan yang diberikan  oleh Allah SWT ini wajar dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dengan  memperbanyakkan aktiviti ibadah dan seterusnya meningkatkan ketaqwaan  selari dengan tujuan berpuasa.
Orang  yang bertaqwa hidupnya selari dengan agama. Hidup beragama terlalu jauh  berbeza dengan hidup berdasarkan perlembagaan buatan manusia. Kerana  tuan punya dunia ini telah menetapkan adanya hari pembalasan dan ini  wajib diulang-ulang berbelas-belas kali setiap hari di dalam solat  (maliki yaumid din). Oleh yang demikian, apalah sangat pihak yang mereka  perlembagaan dapat membawa ruh perlembagaan buatan ini untuk memuaskan  hati pihak hakim di akhirat kelak iaitu Allah SWT. Tanpa ada seebarang  keraguan di mahkamah Allah (without any shadow of doubt). Bolehkah  perlembagaan buatann ini menyelamatkan seseorang manusia itu darripada  neraka Allah SWT.
Perlembagaan sebenar (alsirat  al-mustaqim) ialah al-Quran yang kita tadarus, yang kita baca di dalam  solat, di pejabat, di dalam perjalanan ke pasar atau ke mana-mana. Ia  mengandungi nur iaitu cahaya.
Cahaya itu bukan cahaya  matahari, bulan, bintang tetapi cahaya yang menyuluhi qalbu insan, bagi  menentukan halal dan haram, dosa pahala, taat maksiat dan syurga neraka.  Tanpa adanya cahaya ini mansua akan meraba-raba dalam kegelapan. Itulah  gunanya al-Quran, iaitu untuk menimbal kelemahan-kelemahan manusia.
Sebab  itu di dalam saat manusia berhibur pada hari ini, galak dengan makan  minum, pakaian yang baru, manusia tetap disuruh, melaungkan Allahuakbar  sekuat-kuatnya, di merata-rata tempat, bukan sahaja di masjid dan di  surau. Ini kerana jika Allahuakbar adalah akbar, terbesar, terpenting,  maka segala urusan hidup lain menjadi kecil, boleh diketepikan bila  bertembung dengan kehendak Allah SWT. Di negara kita, umat islam masih  agak terikat dengan budaya bertakbir di masjid dan di surau sahaja. Saya  mencadangkan agar kita mempelopori suasana yang baru, berteraskan  sunnah iaitu bertakbir di merata-rata temppat.
Insya-allah  jika semangat takbir ini dihayati sepenuhnya, banyak permasalahan yang  berlaku di dalam negara dapat diselesaikan. Masyarakat dapat hidup aman  dan damai tanpa sebarang pertembungan yang melibatkan keturunan dan  kebudayaan. Kita sudah tentu mengimpikan masyakarat di negara kita  khususnya dapat hidup sejahtera tanpa sebarang gangguan dan ancaman yang  terhasil dari perbezaan kaum dan keturunan. Melayu misalnya dapat  menerima menantu dari keturunan Cina, India tidak merasa kekok untuk  bemertuakan seorang Melayu bahkan Melayu dengan senang hati berjemaah  dan berimamkan seorang Cina atau India Muslim. Ini boleh terhasil  apabila semangat takbir dapat dilaksanakan sepenuhnya dan bukan hanya  sekadar meniti di bibir semata-mata.
Alhamdulillah, ini  dapat kita saksikan sepanjang Ramadhan khususnya apabila masjid-masjid  dan madrasah-madrasah dipenuhi dengan kaum. Tanpa mengira bangsa, semua  kita melafazkan amin apabila imam menghabiskan bacaan al-fatihah. Kita  tidak merasa kekok apabila bahu kita bersentuhan dengan saudara seagama  dari kaum lain ketika mengerjakan solat. Kita tidak berasa janggal untuk  menghulurkan salam kepada rakan sebelah yang berbeza keturunan.  Persoalannya, kenapakah perasaan ini tidak muncul di luar masjid dan  madrasah? Jawapannya, kerana kebesaran Allah SWT hanya diikrarkan di  dalam masjid sahaja dan tidak dibawa keluar sebagai asas kehidupan.
Oleh  yang demikian, besarlah harapan saya agar hari raya yang disambut pada  tahun ini dan tahun-tahun yang seterusnya berjaya menjadi alat penyatuan  di antara kaum yang berbeza dengan berteraskan kalimah takbir. Laungan  takbir ini jauh lebih menjamin keselamatan dan keamanan jika  dibandingkan dengan laungan perkauman yang dikumandangkan oleh  golongan-golongan yang tertentu. Bahkan masyarakat non muslim sendiri  pun tentunya merasa jauh lebih terjamin keselamatan dan ketenteraman  mereka di bawah syiar Islam dibandingkan dengan syiar bangsa dan  keturunan. Insya-allah, jika ini dihayati, matlamat untuk menyatu  padukan masyarakat Malaysia akan tercapai.
Selain itu,  tidak lupa saya berpesan agar anak-anak Kelantan di perantauan dapat  berhati-hati semasa berada di jalan raya. Perlulah diingat bahawa  kepulangan kita ditunggu-tunggu oleh orang yang tersayang. Janganlah  pula kepulangan di hari raya disambut dengan kedukaan akibat perkara  yang tidak diingini semasa di jalanraya. Akhir kata, marilah kita  sama-sama berdoa agar setiap amalan yang kita lakukan sepanjang Ramadhan  khususnya diterima sebagai amalan yang soleh dan akan diganjari oleh  Allah SWT dengan sebaik-baik ganjaran.
Salam Idulfitri. Minal ’aidin wal faizin.
Dengan hormat,
YAB TUAN GURU DATO BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
1 Syawwal 1431H 
Rejim Zionis Israel gali kubur sendiri – Tuan Guru Abdul Hadi
                      -
                    
* KUALA LUMPUR* : “Kezaliman rejim Zionis sebenarnya hanya akan menggali 
kubur diri mereka sendiri.”
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ber...
1 year ago













0 comments:
Post a Comment