Esok, tanggal 31 Ogos 2010 negara kita akan menyambut Hari Kemerdekaan ke-53. Biar pun sambutan tidak sehebat tahun-tahun yang lalu berikutan sambutan kali ini bertembung dengan puasa di bulan Ramadhan. Namun kerajaan 1Malaysia tetap mengadakan raptai secara tertutup yang khabarnya akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Dengan temanya kali ini "1Malaysia Menaja Transformasi", apakah sambutan kali ini dapat diterima oleh rakyat. Jika dulu, tatkala menjelangnya kemerdekaan maka dilancarkan bulan kemerdekaan bermula pertengahan bulan Ogos hingga bulan September. Maka, rata-rata rakyat pelbagai kaum mengadakan aktiviti masing-masing termasuk bersama-sama mengibarkan bendera "Jalur Gemilang". Semua ini dek kerana mahu menunjukkan perasaan sayang dan cinta kepada negara tercinta. Malah, bendera bukan sahaja di pasangkan pada dinding-dinding bangunan atau rumah, malah turut dilekatkan bendera kecil pada kenderaan masing-masing. Rakyat seolah-olah bersemangat dan berbangga untuk merayakan hari kemerdekaan negara. Namun, kini suasana itu nampak jauh berbeza sama sekali di zaman Najib 1Malaysia. Rakyat seolah-olah tidak menerima corak kepimpinan beliau yang bertemakan "rakyat didahulukan pencapaian diutamakan" itu. Buktinya, cuba lihat dibangunan-bangunan sekeliling kita! Atau di kenderaan-kenderaan yang lalu didepan mata kita! Berapa kerat sangat mereka yang mengibarkan Jalur Gemilang?. Daripada 100 kenderaan satu pun mungkin sukar untuk kita temui. Kenapakah ini berlaku?. Apakah rakyat tidak gembira hidup di zaman pentadbiran Najib Razak?. Mungkin juga ada kebenarannya, tambahan pula Najib dilihat gagal membawa perubahan besar terhadap kehidupan rakyat itu sendiri. Apa yang berlaku, ia tetap sama seperti zaman Mahathir dan Pak Lah dahulu. Tradisi mendera rakyat terus menjadi keutamaan kerajaan pimpinannya.
Merdeka Apa Jika Amalan Demokrasi Itu Dicemari
Rakyat juga melihat kerajaan yang ada sekarang ini masih mengamalkan dasar-dasar "kuku besi" untuk menekan rakyat. Undang-undang dan pelbagai akta digunakan untuk menyekat kebangkitan rakyat apabila mereka tidak berpuas hati dengan sesuatu isu. Tambah parah lagi, amalan demokrasi yang diwar-warkan selama ini turut dicemari dengan berbagai insiden yang tidak diingini. Kebebasan bersuara sama ada menerusi media atau perhimpunan terus disekat. Rakyat ditekan, diperkotak-katikkan oleh pihak berkuasa yang kononnya menjaga keamanan. Mereka diperlakukan sewenang-wenangnya hanya dek kerana mahu menuntuk satu keadilan dan kebebasan. Pemimpin dan golongan atasan terus berkuasa memunggah segala khazanah kekayaan negara. Beberapa kerat individu yang berwang, "mencucuk hidung" kerajaan agar menuruti kehendak mereka. Lantaran itulah kita tidak hairan, kerajaan lebih berselera menaikkan harga barangan atas nama "subsidi" daripada terus membela rakyat itu sendiri. Rakyat dibiarkan berada dalam keadaan miskin dan tidak kaya, supaya mereka bebas menggunakan kuasa untuk "membeli maruah" mereka menjelangnya pilihanraya. Malah, agama dan perkauman terus dipermainkan dengan sewenang-wenangnya. Apa yang penting ialah kuasa itu terus dipertahankan oleh mereka. Maka itulah, kita tidak hairan kini kerajaan 1Malaysia lebih seronok memainkan isu agama dan perkauman itu untuk mengekalkan kuasa. Mereka lebih berminat untuk memburuk-burukkan parti lawan demi menyakinkan rakyat kononnya hanya UMNO dan Barisan Nasional sahaja pandai memerintah negara ini. Justeru itulah, rakyat yang bijak dan menggunakan akal fikiran yang waras melihat kerajaan 1Malaysia yang ada hari ini langsung tiada makna bagi mereka. Atas faktor itu juga, rakyat tidak merasa berbangga untuk mengibarkan bendera Malaysia sebagai tanda sokongan terhadap kemerdekaaan itu. Inilah hakikat yang telah berlaku itu sebenarnya.
Jalur Gemilang Kini Akhirnya Di Hina Indonesia
Apa yang lebih memalukan sekarang ini, di saat kerajaan 1Malaysia mahukan rakyat supaya mengibarkan bendera kebanggaan negara "Jalur Gemilang", tiba-tiba kita melihat pula jalur gemilang dihina di negara jiran Indonesia. Malah, bukan sahaja dihina mereka juga membakar dan memijak-mijak jalur gemilang. Bukankah ini boleh menjatuhkan maruah negara sebenarnya. Namun, anehnya PM Najib Razak berbangga mengatakan kerajaan tidak pernah berlembut dalam isu kedaulatan negara. Soalnya kenapa tatkala alur gemilang dihina sedemikian rupa kita masih mampu berdiam diri di saat kita mahu menyambung hari kemerdekaan esok. Tambah menyakitkan hati kita, bila ada pula rakyat Malaysia yang ditahan dan ditangkap oleh pihak polis gara-gara cuba melakukan perkara yang sama terhadap bendera Indonesia di kedutaan mereka. Inilah masalahnya, bila orang lain buat dibiarkan tetapi bila kita mahu bertindak mereka pula yang menghalang. Samalah dengan apa yang berlaku dalam politik negara, hanya kerajaan dan penyokong mereka sahaja yang menikmati kemerdekaan itu sebenarnya. Bagi penyokong pembangkang (Pakatan Rakyat), apalah erti kemerdekaan jika jiwa-jiwa mereka terus "dijajah" oleh bangsa sendiri?. Buktinya, hanya penyokong kerajaan sahaja bebas untuk melakukan apa sahaja termasuk berhimpun secara haram. Sedangkan jika ia dilakukan oleh penyokong pembangkang sudah pasti mereka akan dikenakan berbagai tindakan. Ini semua tidak bermakna jika benar negara sudah merdeka. Negara hanya merdeka dimata kerajaan sahaja, sebaliknya bagi rakyat selagi diri mereka terbelenggu maka itulah mereka tidak akan menghargai erti sebuah kemerdekaan itu akhirnya.
Merdeka Apa Jika Jenayah Kini Terus Berleluasa
Apalah erti kemerdekaaan sebenarnya jika gejala maksiat dan jenayah terus meningkat di negara kita. Malah, paling membimbangka di ketika umat Islam sibuk menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan gejala "buang bayi" terus melanda. Itu belum lagi kes jenayah lain yang semakin meningkat dari masa ke semasa. Apakah ini ertinya kemerdekaan, apabila akidah dan akhlak rakyat terutamanya golongan muda punah ranah dibuatnya. Dasar apakah ini, yang merelakan semua ini terus berlaku malah disokong pula oleh kerajaan itu sendiri. Misalnya, gejala penagihan dadah yang kian parah terus disuburkan lagi dengan pembinaan banyak pusat-pusat untuk menempatkan penagih terbabit. Walhal mereka sendiri tahu 80% penagih yang keluar itu akhirnya terlibat semula dengan gejala tersebut. Begitu juga kini, susulan kes buang bayi yang meningkat tiba-tiba pula ada kerajaan negeri yang beriya-iya mahu membina sekolah uintuk pelajar hamil. Kononnya untuk menyelamatkan mereka dari terus terjerumus ke kancah jenayah lain termasuk jenayah akibat membuang bayi tersebut. Semua ini jelas menunjukkan yang kerajaan 1Malaysia ternyata gagal membentuk akidah dan keimanan rakyat seperti yang terkandung dalam agenda konsep 1Malaysia yang diperkenalkan mereka itu sebenarnya. Maka, apakah ini maknanya kemerdekaan yang dibanggakan itu agaknya?
[Sebenarnya, banyak lagi faktor yang mendorong ke arah itu sebenarnya. Rakyat Malaysia sudah muak dan jelek dengan kebobrokan yang dilakukan oleh kerajaan BN pimpinan Najib Razak yang hanya "indah khabar dari rupa". Retorik politik "rakyat didahulukan" hanyalah satu usaha untuk mengalih pandangan rakyat itu sendiri. Sebaliknya, mereka terus dihenyak dengan virus "subdisi" yang kian membiak dijiwa-jiwa pemimpin kerajaan itu. Inilah yang menyebabkan mereka langsung tidak bersemangat waja untuk menyambut hari kemerdekaan, apatah lagi untuk mengibarkan bendera negara "jalur gemilang" itu sebenarnya. Rakyat yang bijak tidak mahu terus tertipu dengan semangat nasionalisme laungan puak-puak UMNO BN itu lagi. Penolakan ini membukti betapa sokongan rakyat terhadap kerajaan 1Malaysia pimpinan Najib Razak semakin terhakis dari sehari ke sehari. Soalnya sekarang, apakah Najib berani membubarkan parlimen dan membuat pilihanraya lebih awal atas senario yang berlaku ini. Ia jelas menunjukkan bahawa arus perubahan itu juga kini semakin hampir untuk dinikmati oleh kita semua].
artikel diambil dari : http://pahangdaily.blogspot.com
Rejim Zionis Israel gali kubur sendiri – Tuan Guru Abdul Hadi
-
* KUALA LUMPUR* : “Kezaliman rejim Zionis sebenarnya hanya akan menggali
kubur diri mereka sendiri.”
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ber...
2 months ago
0 comments:
Post a Comment