Memang kurang ajar. Dah la datang ke negara kita buat Konsert. Tutur bahasa dan perilaku sebuah kumpulan rock dari Amerika begitu kurang ajar sekali. Mereka mempelawa peminat untuk tidur bersama di bilik hotel. Malah paling memalukan apabila mereka meletakkan coli atas tiang microfon. Sungguh memalukan. Siapa yang patut dipersalahkan....?
Rocker AS kurang ajar
KONSERT Rockaway yang diadakan di perkarangan Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini boleh dikatakan konsert tempatan yang paling lama diadakan iaitu dari pukul 12.30 tengah hari sehingga 12 malam.
16 kumpulan rock tanah air dan tiga kumpulan rock terkenal dari Amerika Syarikat (AS) iaitu All Time Low, The Used dan Story Of The Year mengadakan persembahan bertenaga di hadapan hampir 8,000 penonton.
Apa yang pasti, tiga kumpulan terkenal dari AS itu adalah yang paling dinanti-nantikan oleh para peminat kerana itu adalah konsert pertama mereka di sini menerusi Rockaway yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh One Buck Short & Friends.
Sayangnya, gitaris dan vokalis kumpulan All Time Low iaitu Jack Barakat memperlihatkan banyak gimik termasuklah kata-katanya yang kurang sopan sewaktu berinteraksi dengan para penonton pada konsert tersebut.
"Siapa di antara anda (gadis) yang mahu datang ke bilik hotel saya malam ini? Bolehkah juga saya sentuh payu dara anda?" itu antara persoalan yang diajukan oleh Jack kepada para peminat remaja perempuan pada persembahannya malam itu.
Pada konsert yang mengenakan tiket berharga RM88 itu, anggota kumpulan berasal dari Baltimore, Maryland, AS itu turut tanpa segan silu menggantung beberapa coli di tiang mikrofon dengan tidak diketahui sebabnya ia diletakkan di situ.
Perlakuan dan kata-kata Jack itu seolah-olah tidak menghormati sosio budaya masyarakat di sini. Bagaimanapun agak memeranjatkan juga apabila pelawaan dan ayat-ayat lucahnya itu dibalas dengan pekikan penuh rasa keterujaan para penonton.
All Time Low yang mengadakan persembahan selepas waktu maghrib itu ternyata kurang peka dengan apa yang telah mereka lakukan.
Berbeza dengan The Used dan Story Of The Year yang mengadakan persembahan dalam gaya dan perlakuan yang lebih sopan.
Vokalis Story Of The Year, Dan Masala misalnya, menggunakan bahasa-bahasa yang sopan, malah gitarisnya, Ryan Philips juga banyak kali menggunakan bahasa Melayu seperti 'terima kasih' sewaktu dia berinteraksi bersama para peminatnya.
Interaksi itu bukan sahaja menambahkan lagi kebingitan persembahan pemuzik pop punk itu, tetapi alunan lagu-lagu popular mereka sepertiSidewalk dan Wake Up turut menarik para peminat menyanyikannya bersama-sama.
Sementara itu, 16 kumpulan rock tempatan yang turut mengadakan persembahan, tidak banyak yang mencuri tumpuan para penonton berbanding tiga kumpulan pop punk yang sedang popular di AS itu.
Ini kerana, lebih separuh daripada mereka seperti Love Me Butch, One Buck Short, Lo dan Hujan bukan begitu dinanti-nantikan ramai memandangkan mereka sering muncul dalam banyak konsert yang diadakan sebelum ini.
Kumpulan-kumpulan tempatan lain yang mengadakan persembahan pada Rockaway ialah Tres Empre, Dechi Michi, Busco, Oh Chentaku, Kyoto Protocol, They Will Kill Us All, Deja Voodoo Spells dan Monoloque.
Turut serta pada konsert berskala besar yang menampilkan para pemuzik rock, metalcore, heavy metal dan pop punk itu ialah kumpulan Pop Shuvit Featuring Project E.A.R., Metalasia serta Massacre Conspiracy.
0 comments:
Post a Comment