Ungkapan seperti ini sering kali kedengaran setiap kali menjelang pilihan raya. Malah istilah Umno yakin tawan Kelantan diucap beberapa perdana menteri.
Bermula Tun Dr Mahathir Mohamad kemudian diikuti Tun Abdullah Ahmad Badawi dan sekarang pula Dato' Seri Najib Razak.
Istilah 'tawan' tidak pernah serik diucap pemimpin Umno, biar pun sehingga kini belum menjelma menjadi realiti di Kelantan. Dan menjelang pilihan raya kecil Dun Manek Urai 14 Julai depan, istilah itu pastinya akan diulang tayang kembali. RTM dan TV3 sedia memberi khidmat demi negara.
Tengoklah nanti. Ini kerana dalam diari perjuangan Umno tidak ada resepi lain lagi bagi memujuk penyokong supaya bekerja. Sedangkan semua orang tahu istilah bekerja dalam teori Umno mesti berlapik upah. Tanpa upah poster tidak akan melekat di batang pokok.
Lebih menarik lagi poster yang telah dipasang diragut kembali, kalau upah tidak memenuhi poket. Sebaliknya agenda upah belum membudayakan dalam PAS. Ini kerana konsep pahala dan dosa sudah lama menyerap ke dalam jiwa raga ahli dan penyokong perjuangan Islam.
Maka tidak hairanlah pesta memasang bendera di Manek Urai menjadi tidak seimbang sekarang. Petugas Umno di sebuah kampung agak malu ketika dirakam gambarnya sedang memasang poster dacing. Sebaliknya penyokong PAS dan Pakatan Rakyat sudah lama berpeluh ketika melekat lambang parti di batang pokok.
Tidak kurang juga yang sanggup memanjat pokok kelapa untuk menjulang lambang bulan purnama. Upah soal kedua, apa yang dinekadkan PAS perlu di hadapan. Maka tidak hairanlah biar pun tanpa kemudahan asas seperti di tempat lain, penduduk di Kampung Chatel, Lata Rek tidak mudah lebur dengan janji orang politik.
Ratusan penduduk di beberapa kampung termasuk Bukit Budu, Jelekeh, Chatel Damai dan Chatel Luar masih menggunakan air bukit bagi keperluan harian mereka. Air yang ditandak dari puncak bukit mengalir terus ke dalam besen dan kolah rumah mereka. Kemudahan tersebut biar pun terdedah dengan kotoran dan pelbagai pencemaran lain, namun penduduk sudah bersyukur. Sekadar mengeluarkan wang saku RM1 sebulan mereka boleh menggunakan air sebanyak mungkin.
Seorang penduduk, Mohd Zain Latiff, 55 berkata, bayaran tersebut digunakan bagi membaiki kerosakan apabila berlaku paip pecah atau aliran air tersumbat di atas bukit.
"Bayaran yang dipungut setiap bulan akan digunakan untuk membayar upah penduduk yang ditugaskan membaiki kerosakan tersebut. Biar pun sumber air belum terjamin bersih, namun kemudahan tersebut seperti juga terdapat di tempat-tempat lain. Kelebihan di sini tidak perlulah membayar bil air.
"Tidak pula berdepan dengan risiko paip air dipotong kerana tidak menjelaskan tunggakan bil," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Mereka juga bernasib baik kerana tidak perlu mengeluarkan belanja besar bagi membeli paip. Ini kerana kemudahan tersebut disediakan Pejabat Kesihatan Daerah di bawah peruntukan luar bandar.
Haji Shafei Zakaria, 64, turut berbangga dengan kemudahan prasarana yang ada sekarang. Menurutnya penduduk tidak menuntut projek mega seperti di negeri lain.
"Kalau sekadar ada jalan yang tidak berselut ketika hujan, tidak berdebu di musim kemarau, ada elektrik dan paip air, kami penduduk yang tinggal di pedalaman sudah banyak berterima kasih," katanya.
Che Hussin Mustapa, 50 yang tinggal di Jelekeh Luar berkata, muafakat di kalangan penduduk masih utuh di Lata Rek. Katanya, penduduk tidak mudah terpengaruh dengan janji pembangunan.
"Sekarang musim orang politik datang membawa pelbagai janji pembangunan. Setiap hari ada orang datang membawa angan-angan baru kepada penduduk di sini," katanya.
Kalau ada projek pun sekadar melepas batuk di tangga. Lihatlah jalan di sebuah lorong di Manek Urai Lama masih elok ditarkan kembali. Ini kerana di situ terdapat rumah seorang pemimpin cawangan Umno.
Biar apa pun penduduk di Chatel, Lata Rek sudah mampu berbangga apabila kerajaan negeri membina jalan, jambatan dan menyalur peruntukan membaiki madrasah dan masjid bagi kemudahan mereka.
Sekiranya pegangan seperti penduduk di Kampung Chatel, Lata Rek menjangkiti pengundi di Kampung Manek Urai Lama dan Manjor, Umno berdepan dengan lorong gelap pada 14 Julai depan. Biar apa pun tanpa kerja keras, kemenangan yang ada mudah terlodeh.
Ini kerana ramai yang berselera merantah mee maggie biar pun perut hanya kenyang sekejap. - mks. _harakahdaily
0 comments:
Post a Comment