Beberapa akhbar utama negara hari ini telah memberikan ruang besar untuk  ulasan pemimpin BN terutama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin  Yassin mengenai isu pasir di Selangor.Malangnya, ulasan mereka berdasarkan  laporan akhbar pada 12 Julai yang salah fakta dan jauh dari kebenaran  kerana kegiatan melombong pasir di Bukit Changgang, Dengkil itu  dijalankan secara sah dan diuruskan oleh syarikat milik kerajaan negeri,  Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB). Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan  Pertanian dan Pembangunan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan  Selangor, Dr Yaakob Sapari (gambar) menafikan berita itu ketika sesi  penggulungan bajet tambahan peruntukan pembangunan 2010 di dalam sidang  Dun yang berlangsung hari ini.
"Media menyiarkan kenyataan  serta gambar lokasi perlombongan yang tidak benar sedangkan aktiviti  perlombongan yang dijalankan adalah sah serta diuruskan KSSB," tegasnya.  Dua hari lepas, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah  mengeluarkan kenyataan akhbar yang menjelaskan secara terperinci  mengenai kegiatan itu yang dimanipulasi oleh pembangkang Selangor dengan  pendedahan dibuat oleh bekas menteri besar, Dr Khir Toyo.
Khalid berkata, laporan mengenai  perlombongan pasir yang disiarkan akhbar adalah tidak benar kerana  fakta-fakta yang diberikan kepada media adalah salah. Berdasarkan gambar  yang disiarkan akhbar, KSSB pasti gambar itu diambil di sekitar  lombongnya yang mempunyai permit sah di Kampung Olak Lempit di Mukim  Tanjung 12, Daerah Kuala Langat, bukannya di Bukit Canggang.
Permit melombong pasir di  kawasan itu yang dikeluarkan pentadbir Tanah Kuala Langat sejak Januari  2010 selepas mendapat kelulusan jabatan teknikal termasuk Jabatan Alam  Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Jabatan  Mineral dan Geosains, Lembaga Urus Air Selangor, Majlis Daerah Kuala  Langat dan pejabat Daerah/Tanah Kuala Langat. Kelulusan dari jabatan itu  diperolehi selepas Skim Melombong (mining Scheme) dan Pengurusan Alam  Sekitar (EMP) diluluskan oleh jabatan-jabatan berkenaan.
Operasi perlombongan dijalankan  selepas JAS dan LUAS berpuashati dengan EMP yang disediakan oleh KSSB.  Antara kandungan EMP adalah operasi perlombongan KSSB tidak jejaskan  alam sekitar termasuklah Paya Indah Wetlands. Syarikat perunding, Enviro  Enhance Sdn Bhd juga bertanggungjawab menghantar laporan setiap bulan  kepada JAS.
KSSB juga menyediakan zon  penampan selebar 20 meter dari sempadan kawasan melombong. Kecerunan  tebing yang landai dengan purata 27 darjah disediakan untuk memastikan  tebing tidak runtuh dan membahayakan pekerja serta alam sekitar. Ini  adalah mengikut Skim Melombong yang memenuhi syarat JMG.
Lombong KSSB ini adalah seluas 120 ekar,  bukannya 120 hektar (250 ekar)  seperti yang dilaporkan oleh akhbar. Operasi fasa pertama hanyalah  seluas sekitar 60 ekar. Operasi fasa kedua pula sedang dalam proses  pembersihan kawasan. Kerja-kerja melombong telah diberikan kepada  syarikat kontraktor, Cheong Weng Trading yang berpengalaman selama 15  tahun dalam industri pasir. Semenjak operasi bermula pada Januari 2010,  sebanyak 400,000  tan metrik pasir telah dijual dengan pendapatan sekitar  RM7 juta bukannya 10 juta tan pasir bernilai RM220 juta  seperti yang dilaporkan akhbar.
Adalah tidak munasabah untuk  mengeluarkan 10 juta tan dalam masa 2  minggu seperti yang dilaporkan kerana untuk mengeluarkan pasir  sebanyak itu memerlukan lebih 500,000  muatan lori. Jentera-jentera dan peralatan melombong tidak  berkemampuan untuk mengeluarkan 10 juta tan pasir dalam masa 2 minggu.  "Kerajaan Negeri berterima kasih kepada mereka yang prihatin dengan  kejadian curi pasir dan kita mencuba sedaya upaya untuk membanteras  jenayah ini supaya negeri tidak terus kerugian," tegas Khalid lagi.
Pentadbir Tanah telah mengenal  pasti kawasan-kawasan kecurian pasir seluruh Selangor termasuklah di  Bukit Canggang dan sedang mengambil tindakan termasuklah memberi Notis  7A di bawah Kanun Tanah Negara. "Kita juga berharap pihak media lebih  berhati-hati dengan fakta yang diberikan oleh pihak yang tidak  bertanggungjawab. Kerajaan Negeri akan terus menambah baik perlombongan  pasir yang menjadi sumber untuk agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor,"  jelas Abdul Khalid.
Selangor telah menghantar surat  kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk  memohon kerjasama timbalan  perdana menteri itu dalam menangani isu  kecurian pasir di negeri itu,  kata menteri besarnya Tan Sri Khalid  Ibrahim.
Katanya, surat yang  sama  telah dihantar hari ini kepada menteri dalam negeri Datuk Seri   Hishammuddin Hussein, ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan, peguam   negara Tan Sri Abdul Gani Patail serta ketua polis negeri Datuk Khalid   Abu Bakar.
"Saya telah hantar surat  kepada timbalan  perdana menteri untuk jelaskan isu kecurian pasir di  Selangor dan jemput  beliau dan agensi kerajaan persekutuan untuk  perangi kegiatan ini.
Tambahnya, turut  disertakan  dalam surat tersebut ialah laporan polis yang dibuat oleh  kerajaan  negeri berhubung kegiatan tersebut, serta penjelasan mengenai   langkah-langkah yang telah dijalankan Selangor dalam menangani isu   berkenaan.
"Sebab dalam berita dia kata  'bila kita  tahu siapa terlibat, kita akan tangkap.' Jadi sekarang kita  telah beri  maklumat ini kepada beliau.
"Kalau dia tidak tangkap,  dia bersubahat dengan pencuri pasir  pula," katanya dalam satu sidang  media selepas persidangan DUN  Selangor hari ini.  
 












0 comments:
Post a Comment