;


Thursday, July 23, 2009

Bukan majlis berkabung - Khalil Idham Lim

0 comments
Ketua Penerangan PAS negeri yang juga Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim menafikan majlis menyalakan lilin yang turut dihadiri beliau dan Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin adalah majlis berkabung bagi memperingati kematian Teoh Beng Huat seperti didakwa pensyarah Jabatan Fiqh Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Dato' Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid.

Gambar tersebut dan majlis menyalakan lilin itu diadakan semasa sesi sidang media 17 Julai lalu bertempat di Wisma DAP Ipoh.

Sidang media itu dianjurkan Sekretariat Pakatan Rakyat yang dihadiri 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat dan pemimpin parti.

Idham Lim yang juga bekas penganut Buddha menjelaskan, amalan memegang lilin dan colok bagi orang Cina adalah budaya nenek moyang yang sudah turun temurun diamalkan.

"Saya ingin jelaskan bahawa menyalakan lilin adalah budaya yang diamalkan oleh bangsa kami turun temurun malah ia menjadi amalan kepada penganut Islam di negara China.

"Sebab itulah jika kita berkunjung di mana-mana masjid di China kita pasti akan dapat membeli colok yang dijual di masjid," katanya.

Beliau yang memeluk Islam ketika berusia 23 tahun berkata, di negeri China para imam, ahli jawatankuasa masjid dan umat Islam akan berbaris masuk ke dalam masjid dengan memegang colok yang dinyalakan sambil mengalunkan takbir raya.

"Sebelum melangkah masuh ke dewan sembahyang, colok itu ditinggalkan di luar. Saya ada koleksi gambar mengenai upacara ini sebagai bukti," ujarnya.

Menurutnya, beliau dan Nizar bersama Adun Pakatan Rakyat yang lain memegang lilin sebagai menghormati acara selingan yang diadakan dalam sidang media tersebut dan bukannya bertafakur seperti diminta.

"Sebelum ini sudah banyak kawan-kawan bukan muslim yang menghormati upacara membaca doa dalam pelbagai majlis," jelasnya.

Idham Lim turut mempersoalkan motif isu itu diperbesarkan tetapi di dalam masa yang sama persoalan asal yang lebih besar iaitu tindakan meragut nyawa manusia yang merupakan hak Allah tidak dipersoalkan.

"Saya bimbang pihak berkenaan hanya berani berkokok dalam isu ini tetapi apabila melibatkan pemimpin Umno, golongan ini tidak bersuara menegur," katanya kesal.

Banyak lagi tindakan dan perlakukan pemimpin Umno yang mengaku beragama Islam wajib ditegur tetapi golongan tersebut hanya berdiam diri.

"Antaranya adalah upacara meletakkan kalungan bunga di Tugu Negara yang telah difatwakan haram (oleh Majlis Fatwa Kebangsaan), kenapa golongan tersebut tidak berani menegur," katanya.

Beliau berharap penjelasan ini dapat meredakan suasana resah yang sengaja ditimbulkan golongan tertentu khususnya Umno bagi mengelirukan rakyat.

Baru-baru ini Adun Pangkor, Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam kenyataannya di sebuah akhbar menggesa Mursyidul Am PAS, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat 'mengeluarkan fatwa' berhubung tindakan Nizar menyertai majlis nyalaan lilin bagi memperingati Beng Hock.

Harakahdaily

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin