;


Tuesday, September 29, 2009

RENUNGAN BERSAMA SEJARAH 2005 BAGI CALON BN BAGAN PINANG

0 comments



Kuala Lumpur, 26 Jun 2005 : Pada pagi 24 Jun 2005, Panel Lembaga Disiplin UMNO yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail telah menjatuhkan hukuman penggantungan keahlian selama 6 tahun kepada Naib Presiden UMNO, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.

Mohd Isa telah disabitkan bersalah atas 5 pertuduhan daripada 9 pertuduhan asal rasuah (politik wang). Antara pertuduhan yang dikemukakan adalah berhubung amalan rasuah termasuk membabitkan penganjuran pertemuan, mengadakan majlis makan dan memberi wang untuk membeli undi.

Perbuatan rasuah ini telah dilakukan oleh Mohd. Isa melalui agennya merangkap Setiausaha Politik beliau, Salim Shariff ketika bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan September tahun lalu.

Dalam pertandingan tujuh penjuru bagi jawatan itu, Mohd. Isa berada di kedudukan teratas dengan 1,507 undi diikuti Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam mendapat 1,329 undi, manakala Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin di tempat ketiga dengan 1,234 undi.

Penggantungan ini telah mengesahkan segala desas desus berhubung kemenangan besar beliau dalam Pemilihan UMNO yang lalu. Ini sekaligus menunjukan bahawa UMNO bukan sahaja busuk diperingkat bawahan tetapi sememang membusuk dari peringkat atasan.

Keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin UMNO ini benar – benar mencalarkan karier politik Mohd Isa. Beliau seharusnya berundur serta merta sebagai Ahli Parlimen. Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan juga mendesak agar beliau meletakan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan memandangkan beliau juga telah melanggar kod etika penjawat awam.

Jika dirujuk pada Akta Pencegahan Rasuah 1997, beliau kini seharusnya sudah merengkok didalam penjara. Perenggan ke 11, Akta Pencegahan Rasuah 1997 telah menyatakan bahawa;

11. Jika-

(b) mana-mana orang secara rasuah memberikan atau bersetuju untuk memberikan atau menawarkan apa-apa suapan kepada mana-mana ejen sebagai dorongan atau upah bagi melakukan atau tidak melakukan, atau kerana telah melakukan atau tidak melakukan apa-apa perbuatan berhubungan dengan hal-ehwal atau perniagaan prinsipalnya, atau bagi memberikan atau tidak memberikan sokongan atau tentangan kepada mana-mana orang berhubungan dengan hal-ehwal atau perniagaan prinsipalnya;

dia adalah melakukan suatu kesalahan.

Perenggan ke 16 pula menyatakan bahawa;

16. Mana-mana orang yang didapati bersalah atas suatu kesalahan di bawah seksyen 10, 11, 13, 14 atau 15 boleh apabila disabitkan-

(a) dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada empat belas hari dan tidak lebih daripada dua puluh tahun; dan

(b) didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Malangnya UMNO telah memutar belitkan perkataan RASUAH kepada POLITIK WANG dan menghalang Badan Pencegah Rasuah untuk membuat siasatan berdasarkan perundangan Negara dengan alasan bahawa perbuatan itu terkandung dalam soal – soal peribadi UMNO.

Amat jelek rasanya bila Wilayah Persekutuan diwakili oleh seorang Menteri yang jelas mengamalkan rasuah. Baru – baru ini juga, beliau telah kemaruk Kuasa Datuk Bandar Kuala Lumpur dan cuba mengurangkan kuasa yang telah diperuntukkan dalam Perundangan Kerajaan Tempatan.

Perbuatan beliau ini adalah satu perkara yang amat memalukan UMNO kerana status beliau bukanlah Ketua Cawangan, beliau adalah pemimpin tertinggi Nombor Tiga dalam UMNO. Beliau gagal menunjukan sikap yang baik dan seharusnya beliau keluar dari Kementerian Wilayah Persekutuan dan dikeluarkan dari senarai ahli Kabinet.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin