;


Wednesday, May 27, 2009

Laporan Palsu : Rais Yatim sila ambil tindakan

0 comments
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini meminta penulis blog menghentikan penulisan mengenai perkara palsu dan menyentuh peribadi.

Beliau berkata mereka yang menulis laporan palsu akan dikenakan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Menyatakan perkara palsu dan perkara menyentuh peribadi harus dihentikan oleh para penulis tersebut (penulis di internet dan blog).

Berdasarkan kenyataan ini apakah yang patut dilakukan oleh Rais Yatim terhadap pengendali laman web yang nyata palsu dan menyentuh peribadi.? Saya siarkan kembali posting terdahulu membabitkan isu ini.

Saturday, January 31, 2009

Dr. Halimah buat laporan Polis

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali membuat satu laporan polis terhadap sebuah laman web berhubung dakwaan kononnya beliau ditangkap khalwat 25 Januari lalu. Katanya, laporan berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang kelmarin kerana dakwaan yang dibuat laman web berkenaan ternyata satu fitnah dan merupakan tuduhan yang mengaibkan beliau.

“Itu (dakwaan) satu fitnah. Saya tidak ada berhampiran kawasan Pelabuhan Klang pada malam berkenaan apatah lagi di hotel seperti yang didakwa. “Pada malam berkenaan saya berada di Bukit Kuching, Kuala Selangor menghadiri program Forum Perdana dan pada sebelah siangnya saya menghadiri mesyuarat Yayasan Amal Pusat,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan laman web berkenaan kononnya beliau ditangkap khalwat dalam satu operasi yang dibuat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 25 Januari lalu di sebuah hotel sekitar Pelabuhan Klang. Menurutnya, beliau akan memfailkan saman terhadap pengendali laman web berkenaan dan penulisnya yang menggunakan nama ‘ Brigade Commander Selangor’ berhubung tuduhan berkenaan. Dr Halimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang berkata, saman berkenaan dibuat sebagai pengajaran kepada semua pihak supaya tidak mengeluarkan tuduhan yang mengaibkan seseorang terutamanya menjatuhkan maruah seseorang.

“Kini saya sedang menunggu Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) memilih peguam terbaik untuk mengendalikan kes ini. “Kita akan saman RM30 juta hingga RM40 juta kepada mereka yang terlibat dalam fitnah berkenaan dan ia bertujuan sebagai pengajaran kerana melibatkan maruah saya,” katanya. Menurutnya, beliau mahu pihak pengendali laman web dan penulis berkenaan memohon maaf secara bersemuka namun sama ada saman akan difailkan bergantung pada budi bicara dan perbincangan beliau dengan peguamnya.

“Saya nak mereka, webmaster dan pembawa berita muncul mengaku di depan saya secara bertanggungjawab,” katanya. Menurutnya, tuduhan berkenaan sama sekali tidak berasas dan menjatuhkan maruah beliau yang merupakan Exco Kerajaan Negeri, ADUN dan seolah-olah mencabar beliau yang merupakan ahli Pas. Dakwanya, beliau tidak menolak kemungkinan tuduhan berkenaan bermotifkan politik yang dibuat UMNO kerana laman web berkenaan merupakan laman web menyokong parti berkenaan.

“Saya minta kepimpinan UMNO pusat mahupun negeri mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang terlibat menyebarkan fitnah ini. “Dakwaan penulis berkenaan kononnya berita saya ditangkap khalwat telah tersebar dalam kalangan penduduk di Pelabuhan Klang juga fitnah kerana saya sendiri bertanya kepada penduduk dan mereka ternyata tidak tahu menahu mengenai perkara ini,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin