Nabi Muhammad s.a.w. dilahirkan ketika dunia perlukan kepada pembimbing untuk keselamatan dunia dan akhirat. Kehidupan pada waktu itu tidak ada erti kepada manusia untuk menghirup nikmat dunia. Undang-undang yang ada ialah undang-undang rimba, yang kuat bertambah kuat, yang lemah terus ditindas.
Serigala menjadi pengembala kambing, orang zalim menjadi hakim. Wanita tidak ada nilai dalam hidup. Kehadiran wanita di dunia kononnya membawa sial majal sebab itu perlu dibunuh sejak kecil lagi. Wanita hanya untuk diguna sebagai memuaskan nafsu binatang mereka dan dijadikan sebagai bahan pertaruhan dalam perjudian.
Kesesatan yang melanda setelah berlakunya kekosongan dalam diri manusia setelah Allah SWT mengangkat nabi Isa a.s. maka manusia telah kehilangan arah dan pedoman dalam jarak hampir 600 tahun. Mereka sudah lupa kepada agama tauhid yang diajar oleh Rasul-Rasul yang datang kepada setiap kaum. Sebaliknya mereka telah melakukan amalan syirik yang meletakkan manusia ditempat yang tidak ada harga diri.
Nabi Muhammad SAW sebagai nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah SWT yang membawa rahmat kepada seluruh alam . Seperti Firman Allah dalam surah al-Anbia’ 21:107 “Dan kami tidak utuskan engkau wahai Muhammad s.a.w. melainkan untuk membawa rahmat sekalian alam”.
Nabi yang datang misinya untuk menyelamatkan manusia supaya kembali kepada fitrah insan dan mengangkat martabat manusia. Baginda menyedari bahawa bukan merupakan satu perkara yang mudah bagi mengubah struktur kefahaman dalam diri manusia untuk kembali kepada perintah Allah SWT. Agak mudah untuk membina sebuah rumah berbanding dengan hendak membina seorang insan supaya kembali kepada agama tauhid.
Memandangkan baginda adalah insan yang agung telah dianugerahkan kepada baginda keistimewaan yang tidak ada pada makhluk lain. Baginda telah melakukan usaha dakwah berkali-kali kepada kaumnya tanpa jemu-jemu.
Apabila baginda pertama kali menerima wahyu di Gua Hira’ balik bertemu dengan isterinya Khadijah dengan perasaan takut. Untungnya baginda memperolehi seorang isteri yang menjadi pendorong kepada kejayaan baginda. Dengan ucapan yang penuh yakin kepada baginda ” Demi Allah tuhan tidak akan mengecewakan engkau selamanya”
Khadijah membawa baginda berjumpa sepupunya Waraqah bin Naufal seorang tua yang dihormati , luas penyelidikan dan luas pengetahuan. Kata Waraqah ” ini ialah tanda-tanda yang diturunkan kepada nabi-nabi , alangkah baiknya kalau aku ada bersama-sama engkau semasa engkau dihalau oleh kaum kamu kelak”.
Muhammad pun bertanya “Apakah mereka yang akan menghalau aku” Waraqah menjawab Tidak ada seorang pun yang datang sebelum mu membawa seperti yang engkau bawakan ini yang tidak dimusuhi, hendaknya dapatlah aku hidup terus supaya dapat menolong mu” tidak berapa lama Waraqah meninggal dunia,
Dengan itu bermulalah tugas nabi Muhaamd saw sebagai seorang Rasul, suatu tugas yang membataskan zaman jahiliah dan membuka zaman baru bagi bangsa Arab, iaitu zaman cahaya atau zaman Islam.
Apabila turunya surah al-Muddassir 1-7 bermulalah dakwah nabi Muhammad SAW.
Bermaksud
“Wahai orang yang berselimut, Bangunlah lalu berilah peringatan, dan agungkanlah Tuhanmu, dan bersihkanlah pakaianmu, dan tinggalkanlah segala perbuatan yang keji, dan janganlah engkau (Muhammad) memberi dengan maksud memperoleh (balasan) yang lebih banyak, dan kerana Tuhanmu, bersabarlah” 56:1-7.
Baginda mengajak mereka yang rapat dengan baginda seperti kaum keluarga dan sahabat yang paling akrab. Mereka diseru dengan perkara pokok agama Islam tentang adanya tuhan dan meninggalkan pemujaan kepada berhala.
Pada peringkat awal yang menerima seruan isterinya Khadijah binti Khuwailid, Zaid bin Harithah, Abu Bakar al-Siddiq.
Dengan perantaraan Abu Bakar banyak yang memeluk Islam mereka terkenal sebagai al-Sabiqun al-Awwalun (orang yang terdahulu masuk Islam). Mereka ialah Osman Affan, Zubair Ibn Awwam, Saad Abi Waqas, Abdul Rahman Bin Auf, Talhah Ubaidillah, Abu Ubaidah Ibn Jarrah, al-Arqam bin Abil Arqam.
Rumah al-Arqam adalah pusat tarbiah yang awal untuk mendidik di kalangan mereka yang awal-awal memeluk Islam. Pada peringkat awal penyertaan dalam agama Islam adalah dari kalangan golongan mustadafin (orang yang tertindas). Pada peringkat ini seruan secara rahsia berjalan selama 3 tahun.
Apabila turunnya ayat Surah Syua’ara’: 214
“Berilah ingat kepada keluarga mu yang terdekat”
Baginda menyampaikan seruan kepada keluarga yang terdekat. Baginda menyeru Sesungguhnya aku belum mengetahui ada seorang pemuda membawa sesuatu untuk kaumnya yang lebih utama daripada apa yang aku bawa untuk kamu. Aku membawa segala kebaikan dunia dan akhirat untuk kamu”
Sebahagian mereka membenarkan dan sebahagian lagi mendustakan, antaranya Abu Lahab bapa saudaranya yang menyatakan bahawa celaka engkau Muhammad apakah ini tujuan engkau mengumpul kami. Berghubung dengan ini Allah menurunkan surah al-Lahab 111:1-5 “Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan benar-benar binasa dia!. Tidaklah berguna baginya hartanya dan apa yang diusahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam neraka api yang bergejolak. Dan isterinya, pembawa kayu bakar (penyebar fitnah). Dilihirnya ada tali dari sabut yang dipintal.”
Apabila turunnya ayat surah al-Hijr, 15: 94
“Jalankanlah apa yang telah disuruhkan kepadamu dengan tegas dan berpalinglah dari orang musyrik”
Sesudah turun ayat ini, mulailah Rasulullah s.a.w. menyeru segenap lapisan manusia kepada agama Islam dengan terang-terangan, baik golongan bangsawan mahupun lapisan hamba sahaya, begitu juga kaum kerabat baginda atau orang yang jauh. Mulanya baginda seru penduduk Makkah kemudian penduduk negeri lain. Di samping itu juga baginda menyeru orang dari bermacam-macam negeri yang datang ke Makkah untuk menunaikan haji (amalan haji yang songsang).
Baginda di Isra’ dan Mikraj oleh Allah dengan membuktikan tanda-tanda kekuasaan Allah SWT yang dapat diimani oleh manusia, namun orang-orang kafir dan musyrik tidak juga menerima. Apa yang berlaku ialah bertambah kesombongan , keingkaran dan keangkuhan terhadap risalah yang dibawa oleh baginda nabi SAW. Malahan mereka melipat ganda untuk menyakit hati baginda nabi Muhammad SAW dan sampai kepada peringkat untuk membunuh baginda dengan harapan cahaya agama tidak bersinar dia atas muka bumi ini.
Oleh itu jalan yang terbaik ialah baginda diarahkan berhijrah untuk mencari pengkalan baru dalam dakwah walaupun terpaksa meninggalkan kampung halaman baginda. Baginda meninggalkan padang permainan sejak dari kecil dan kampung halaman. Ini merupakan satu ujian dan kepahitan. Bukan semua orang boleh melakukannya.
Seperti firman Allah SWT
“Dan sesungguhnya jika kami perintahkan kepada mereka ; bunuhlah dirimu atau keluarkanlah kamu dari kampungmu, nescaya mereka tidak akan melakukannya kecuali sebahagian kecil dari mereka” (al-Nisa’: 66)
Bukan baginda tidak sayang kepada Makkah, tetapi oleh kerana dakwah tidak boleh berkembang dengan maju. Manakala orang kafir musyrikin pula merasakan satu ancaman kepada agama warisan tok nenek mereka dengan kedatangan agama baru ini. Mereka tahu bahawa peribadi baginda yang unggul dan digelar sebagai al-Amin sejak daripada kecil, tetapi kedegilan dan keangkuhan mereka menyebabkan mereka menolak kebenaran itu.
Hijrah Rasulullah SAW adalah satu peristiwa yang besar dan memberikan satu lanskap politik dan memecahkan kebuntuan dunia untuk melihat keadilan yang akan tersebar ke seluruh alam. Hijrah baginda bukan seperti perpindahan biasa sahaja tetapi ia adalah merupakan satu arahan Allah, untuk menegakkan perintah Allah dengan lebih syumul dan lengkap.
Kenapakah baginda berhijrah ke Madinah, bukankah di Makkah baginda sudah boleh untuk mengerjakan ibadah kepada Allah seperti solat, tawaf di Kabah, berkahwin, berniaga. Kenapa nabi dan para sahabat bersusah payah meninggalkan bumi yang tericnta?. Jawabnya kerana di Makkah nabi hanya boleh mengamalkan Islam yang sempit dan tidak syumul seperti yang diajar oleh ulama’ Umno kepada masyarakat. Di Makkah nabi boleh berdakwah, tetapi nabi tidak boleh menghukum jika manusia engkar. Nabi boleh beri tahu bahawa arak haram, tetapi nabi SAW tidak boleh menghukum, nabi boleh berdakwah mengatakan bahawa zina perbuatan yang keji, jika manusia lakukan juga nabi tidak boleh untuk hukum menurut perintah Allah.
Nabi SAW di Makkah tidak ada kuasa, samalah seperti kedudukan ulama’ di negara ini samaada bergelar mufti,. Qhadi, Imam. Mereka boleh mengajar hukum yang tersirat dalam kitab, tetapi tidak boleh untuk melaksanakan perintah tersebut seperti yang terdapat dalam kitab. Kenapa jadi begini? Jawabnya kerana Islam tidak berkuasa. Mahasiswa yang belajar fakulti Islam mempelajari syariah tetapi apabila bekerja dalam mahkamah mereka hukum lain daripada apa yang mereka belajar. Inilah kesan apabila Islam tidak diberi kuasa.
Nabi berhijrah ke Madinah juga untuk memberitahu kepada kita bahawa Islam bukan saja kena jaga hubungan dengan Allah sahaja. Tetapi Islam juga perlu dihubungkan dengan manusia dan alam. Manusia tidaklah diperintahkan oleh Allah untuk melaksanakan pengabdian kepada Allah sahaja, malahan mereka juga perlu menjadi khalifah di atas muka bumi Allah SWT.
Sebagaimana firman Allah SWT yang menyatakan bahawa antara tujuan manusia diciptakan ialah untuk menjadikan khalifah di atas muka bumi ini. Khalifah Allah tidak ditaklif kepada binatang, tumbuh-tumbuhan tetapi diberi kepada manusia. Firman Allah SWT
“Dan ingatlah ketika tuhanmu berfirman kepada Malaikat: Sesungguhnya aku hendak menjadikan khalifah di bumi.” Mereka berkata, “Apakah engkau hendak menjadikan orang yang merusak dan menumpahkan darah disana, sedangkan kami bertasbih memujiMu dan menyucikan nama Mu? “Dia berfirman, “Sesungguhnya aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui” al-Baqarah, 2:30
Ini bererti manusia kena menegakkan agama dan mentadbirkan dunia dengan agama. Di Makkah baginda tidak boleh untuk mentadbirkan Makkah dengan agama kerana baginda tidak ada kuasa. Berlainan apabila nabi berada di Madinah, baginda mempunyai kuasa untuk melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT.
Sebab itulah menegakkan syariat Allah adalah satu sunnah yang wajib, menentang usaha untuk menegakkan Islam adalah satu bida’ah dhalalah (sesat). Inilah yang sepatutnya kita kena tonjolkan dalam masyarakat. Bukan kita bertengkar perkara khilafiah yang remeh temeh sehingga melemahkan perjuangan Islam. Sunnah menegakkan Islam adalah sunnah yang sudah dilupakan dan disampingkan dan kita wajib ingatkan kepada masyarakat mengenai perkara tersebut. Perlu difahami bahawa sunnah ialah perkara yang disandarkan kepada nabi SAW samaada perbuatan, perkataan atau taqrir (pengakuan). Menegakkan peraturan Allah adalah sunnah perbuatan yang wajib.
Sewaktu menang pemimpin dan pengikut adalah merupakan orang yang bertanggung jawab untuk mempertahankan kemenangan. Telahan lagi yang bernama pemimpin menjawat jawatan Menteri besar, exco, wakil rakyat. Kemenangan ini adalah kemenangan bersama dan wajib seluruh anggota mempertahankan kemenangan dan mengekalkan kemenangan untuk kita melaksanakan tanggungjawab kepada agama Allah SWT dalam kemampuan dan batasan yang ada. Program tarbiah tidak tamat apabila kita sudah mencapai kemenangan, kerana ujian sewaktu menang lebih hebat daripada waktu tidak menang. Antara perkara yang perlu kita sama-sama lakukan dan titik beratkan dalam pembinaan peribadi pemimpin dan ahli ialah,
A. Muraqabah dengan Allah SWT
Semua di kalangan anggota parti mesti melakukan muraqabah dengan Allah, melalui amalan-amalan sunat, beruzlah (mengambil sedikit masa untuk tumpuan ibadah) dari kesibukan dunia untuk mendapat ketenangan dan memohon supaya Allah memberi kekuatan dalam menjalankan amanah. Jangan kita leka dan memenuhi masa dengan sesuatu yang membazirkan masa seperti melepak di kedai kopi hingga berjam-jam lamanya semata-mata bermain dam. Inilah senjata yang paling utuh perlu diterap dalam jiwa para ahli terutama di kalangan pimpinan.
Caranya:
-Membanyakkan amalan fardiah supaya dapat membersihkan diri dan jiwa dengan membaca al-Quran, berzikir, solat sunat, puasa dan amalan-amalan yang boleh menjadi nilai tambah kepada kita. Godaan syaitan dan iblis cukup kuat untuk merosakkan perjuangan ketika kita di era kemenangan.
-Muhasabah diri sendiri supaya dapat membuat penentuan hidup. Jangan terlalu suka meletakkan kesalahan atau membuat sesuatu hukuman tanpa penyiasatan. Contohnya jangan kita sering menyalahi ahli yang tidak hadir dalam sesuatu mesyuarat, program atau usrah. Sebaliknya hitungilah diri sendiri dahulu sebelum menyalahi orang lain .
Kata-kata Saidina Umar RA
Bermaksud
“Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung dihadapan Allah SWT”
- Adakah cukup perjuangan kita sebagai pejuang Islam dengan hanya berjemaah di masjid dan surau-surau dan kemudian menghabiskan masa dikedai kopi, menghadirkan diri disetiap kuliah tanpa merealisasi setiap kandungan isi kuliah tersebut.
B. Qudwah hasanah
Suri contoh teladan yang baik adalah senjata yang paling berkesan untuk mengajak orang kepada perjuangan dan menyakinkan apa yang kita bawa. Kerana manusia lebih terpengaruh dengan bahasa perbuatan daripada bahasa lidah.
Kisah seorang Yahudi bernama Zaid bin Saanah memiliki hutang pada Rasulullah SAW dua atau tiga hari sebelum sampai tempoh pembayarannya, beliau dan beberapa sahabatnya bertindak dengan kasar dan caci nista untuk meminta hutang. Saidina Umar yang ada pada waktu itu hendak pancung si lelaki tersebut. Baginda SAW melarang sebaliknya menyuruh Saidina Umar menjelaskan hutang dan di tambah 20 gantang tamar. Maka yahudi itu hairan, dan bertanya kenapa? maka Saidina Umar memberi tahu sebagai ganti kepada perbuatanku yang telah menggerunkan engkau. Akhirnya Yahudi tersebut memeluk Islam dan sebahagian hartanya disedekah kepada umat Muhammad SAW.
Kita pernah dengar bagaimana seorang masuk Pas kerana melihat al-Marhum Ustaz Fadhil Nor sebagai Presiden Pas berbaris dengan orang ramai walaupun ada orang menjemput beliau memotong giliran.
Bagaimana orang hendak ikut kita sedangkan kita sendiri lemah yang tidak memaparkan akhlak yang tinggi. Kita tidak mahu orang menjauhi kerana tidak ada suri teladan yang baik, dengan ini mendatangkan rugi kepada jama’ah. Watak ini jangan ada seperti kita mengajak orang lain berjihad sedangkan ia tidak. Mengajak orang lain berkorban sedangkan beliau sendiri bakhil. Jika kita mahu mengajak orang lain mengutamakan orang lain maka kita perlu tunjukkan dahulu sebelum menyuruh orang lain. Mengajak anak orang, isteri orang lain untuk berjuang sedangkan keluarganya mendiamkan diri di rumah dan tidak memberi galakan kepada mereka untuk mempertahankan kemenangan.
Firman Allah SWT
“Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan ) kebaikan sedangkan kamu melupakan diri kamu padahal kamu membaca al-Kitab (Taurat). Maka tidakkah kamu berfikir?” (al-Baqarah: 44)
Pengajarannya
1. Semua ahli Pas terutamanya pemimpin mestilah mengambil semangat apa yang dilakukan oleh baginda Rasulullah S.A.W dalam menyampaikan seruan dakwah.
2. Sebelum kita mengajak orang lain kepada perjuangan Pas maka kita perlu mengajak orang yang terdekat dahulu untuk bersama dengan perjuangan Pas. Sebagai mana baginda mangajak kaum kerabat terdekat sebelum kita mengajak orang yang lebih jauh. Kita tidak mahu ditempelak oleh orang kerana hanya pandai seru orang untuk berjuang dengan Pas, tiba-tiba kita membiarkan ahli keluarga kita senang lenang diulit dengan dunia, akhirnya mendatangkan fitnah kepada perjuangan.
3. Semangat gigih yang ditunjuk oleh baginda yang tidak pernah jemu-jemu menyebarkan Islam wajib dicontohi. Jangan sesekali berputus asa dalam perjuangan hatta walau beratus kalipun kita gagal.
4. Di dalam suasana Islam yang sudah rosak di bawah Umno/BN maka usaha menyelamatkan ummat perlu dipertingkatkan tanpa ada noktah. Kita boleh lihat sistem nilai, keruntuhan rumah tangga, perundangan, politik, pengkhianatan amanah, serangan budaya liar, pakaian yang sekarat Islam sekarat tidak Islam. Semua ini memerlukan Islam sebagai penyelamat.
5. Jangan kita ukur umur kita tetapi ukurlah umur dakwah kita. Berapa banyak risalah, masa, wang ringgit, tenaga, masa yang kita gunakan untuk perjuangan Islam. Kita bimbang masyarkat tidak mahu menerima perjuangan kita bukan kerana mereka marah kepada perjuangan kita tetapi kerana kejahilan mereka mengenai perjuangan Pas lantaran daripada kemalasan diri kita untuk memberikan saham kepada perjuangan.
6. Banyak mengambil iktibar daripada akhlak Rasulullah SAW dan para sahabat sewaktu menang
7. Banyak membaca kisah nabi-nabi SAW, para sahabat dan ulama’ serta pejuang-pejuang Islam di seluruh dunia kerana ini akan memberi motivasi kepada jiwa kita untuk meniru mereka
8. Jangan menunjuk lambang kemewahan, kerana orang benci terutama pengikut dan petugas kita di peringkat bawah. Kita bimbang jika jama’ah memerlukan wang kita tidak boleh beri wang sedangkan mereka melihat kita bergaya dengan kemewahan. Semua ini akan menghakis thiqah pengikut dan orang awam kepada kemenangan kita. Maka mereka menuduh kemenangan kita tidak mempunyai erti kepada perjuangan Islam. Bukan mustahil semangat mereka untuk bekerja kearah untuk mengekalkan kemenangan akan luntur. Kita tidak bimbang musuh benci kepada Pas, yang paling kita takut ialah apabila petugas dan jemaah marah dan tidak bekerja untuk mengekalkan kemenangan dalam PRU akan datang.
9. Banyak muhasabah diri dan merasakan kelemahan yang terlalu banyak pada diri dan berusaha untuk meningkatkan.
10. Bersedia untuk menerima teguran, kerana kelemahan sendiri agak sukar untuk kita melihat dengan ini kita memerlukan orang lain yang memerhatikannya.
11. Kena suruh anak dan isteri kita bertungkus lumus bersama dengan perjuangan untuk memasti kemenangan dikekalkan dengan ini mendorong petugas bertambah semangat untuk bekerja seperti baginda SAW bersama menggali parit ketika berlaku peperangan Ahzab dalam bulan syawal tahun 5 hijrah. Walaupun sahabat suruh baginda berehat, namun baginda tidak mahu berbuat demikian semata-mata untuk memberi semangat kepada sahabat yang lain dalam mempertahankan kota Madinah.
12. Aurat dan akhlak anak isteri mesti dijaga, kerana ini adalah penilaian awal masyarakat kepada perjuangan kita. Memelihara akhlak dan aurat adalah lambang yang membezakan kita dengan perjuangan orang lain. Pakaian adalah tanggapan awal untuk orang thiqah dengan perjuangan yang kita bawa. Masyarakat akan tawar hati apabila ia melihat ketika berdegar-degar bercakap tentang Islam dan menyeru kepada perjuangan Islam, sedangkan diri dan keluarga punya peribadi tidak melambangkan apa yang diucap .
Bersama-sama kita berubah kearah pembanggunan ummah dan menjadi pejuang Islam yang sejati.
0 comments:
Post a Comment