Semua golongan adalah penting dalam tanzim PAS. Itulah mungkin antara rumusan saya sebagai ‘lay man’ dalam PAS selepas mengikuti Seminar sempena Sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulamak, 23 Mei yang lalu.
Seminar sehari yang menghimpunkan anggota-anggota dari sayap Dewan Ulamak seluruh Malaysia itu telah dihadiri oleh hampir 800 orang peserta.
Golongan ulamak, professional dan aktivis adalah entiti penting yang tidak boleh dinafikan peranan mereka dalam memperjuangkan cita-cita PAS selama ini. Dikotomi ini sengaja dicipta oleh pihak musuh yang melihat tiga kelompok ini sebagai aset penting yang menjadi sumber kekuatan PAS selama ini.
Ulamak Teras Kepimpinan
Walaupun mempunyai latar belakang pendidikan serta kehidupan yang berbeza, namun ketiga-tiga golongan ini percaya dan yakin bahawa hanya ulamak yang dapat meneraju parti secara lebih baik. Kanapa? Jawapannya mudah sahaja. Kerana prinsip dan tujuan parti sebagaimana jelas termaktub dalam perlembagaan parti adalah berasaskan kepada Al-Quran dan Sunnah. Perlembagaan PAS dalam fasal 5 (1) menyebut tujuan PAS adalah;
“Memperjuangkan wujudnya di dalam Negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hokum-hukumnya menuju keredhaan Allah”.
Justeru, semua golongan dalam parti mengetahui dan memahami bahawa hanya ulamak yang mempunyai kredibiliti dan autoriti dalam memahami kedua-dua sumber utama dalam Islam ini bagi mencapai tujuan serta cita-cita parti.
Firman Allah SWT;
شَهِدَ ٱللَّهُ أَنَّهُ ۥ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ وَٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَأُوْلُواْ ٱلۡعِلۡمِ قَآٮِٕمَۢا بِٱلۡقِسۡطِۚ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَڪِيمُ
Maksudnya: “Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah ali-Imran: 18)
Ayat ini jelas menerangkan kedudukan Ulamak sebagai teras dalam memperjuangkan aqidah tauhid kepada Allah SWT. Statusnya amat tinggi iaitu selepas kedudukan para malaikat.
Umpama Nakhoda
Analogi yang mudah ialah seorang nakhoda kapal bukan sahaja perlu arif untuk memegang stereng kapal. Namun bagi memastikan kapal tersebut senantiasa berada pada laluannya yang betul, maka seorang nakhoda perlu memahami selok-belok angin, ombak, cuaca, kedudukan layar dan segalanya berkaitan dengan lautan dan kapal yang dikemudi. Nakhoda ini pula tidak boleh melakukan semuanya sekaligus. Lalu semestinya dia memerlukan kelasi-kelasi kapal yang lain bagi melaksanakan kerja-kerja yang mungkin sukar dilakukan secara bersendirian.
Dalam PAS, ulamak yang memimpin tidak dibiarkan memimpin sesuka hati. Namun, setiap keputusan yang dikeluarkan mestilah selari dengan tuntutan wahyu dan maslahah Islam. Ulamak yang menjadi pemimpin ini pula dinaungi dan dipantau oleh Majlis Syura Ulamak yang menjadi sebuah badan induk yang dianggotai oleh ulamak-ulamak yang mempunyai kriteria-kriteria tertentu. Fasal 7 (4) (a) dalam perlembagaan PAS memperuntukkan bahawa ahli Majlis Syura Ulamak mesti mengetahui masalah-masalah pokok (Al-Usul) dalam Syariat Islam dan hukum-hukumnya. Dari segi syakhsiah, seorang ahli Majlis Syura Ulamak pula hendaklah seorang yang adil yakni tidak melakukan dosa besar atau terus-menerus melakukan dosa kecil dan hendaklah terpelihara maruahnya.”
Justeru, marilah kita bulatkan tekad dan fikrah untuk mengekalkan kepimpinan ulamak dalam PAS kerana kita percaya golongan ini sahajalah yang dapat memandu bahtera PAS ini di atas jalan yang betul, istiqamah menuju keredhaan Allah SWT.
Ulamak itu pewaris Nabi. Justeru, hormatilah ulamak kerana mereka keturunan para Nabi.
Sebagai ahli gerakan Islam, kita tidak perlu untuk merasa kecewa apabila tidak dikurniakan apa-apa jawatan. Namun, sekiranya jawatan itu ditaklifkan kepada diri, adalah tidak manis bagi seorang anak perjuangan untuk menarik diri. Jangan kecewa, jangan putus asa. Teruskan perjuangan di bawah kepimpinan ulamak dan Islam.
Firman Allah SWT:
وَكَأَيِّن مِّن نَّبِىٍّ۬ قَـٰتَلَ مَعَهُ ۥ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ۬ فَمَا وَهَنُواْ لِمَآ أَصَابَہُمۡ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَمَا ضَعُفُواْ وَمَا ٱسۡتَكَانُواْۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلصَّـٰبِرِينَ
Maksudnya: “Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh) dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengasihi orang-orang yang sabar”.
(Surah ali-Imran:146)
0 comments:
Post a Comment